Pusat Pengajian Asasi
Universiti Malaysia Kelantan

Dari Meja Pengarah


Dr. Hjh. Marinah binti Muhammad

Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merupakan Universiti Keusahawanan dan satu-satunya universiti di Malaysia yang mempunyai teras keusahawanan. Bagi memastikan UMK dapat merialisasikan Universiti Keusahawanan ini, satu strategi perlu disusun untuk memastikan pelajar prasiswazah UMK adalah pelajar yang mempunyai kualiti akademik yang cemerlang, keupayaan pengetahuan asas dalam bidang yang kukuh dan minat yang tinggi dalam keusahawanan. Ciri-ciri pelajar sebegini sangat diperlukan bagi memastikan mereka boleh bersama menjayakan perancangan universiti untuk menjadi sebuah universiti keusahawanan yang unggul di negara ini.

Memandangkan bidang keusahawanan merupakan bidang yang memerlukan masa dan tumpuan serta kurikulum yang spesifik, maka pelajar yang akan menjayakan agenda universiti keusahawanan ini perlu diberi pendedahan seawal mungkin. Naik taraf Jabatan Persediaan Sains, Universiti Malaysia Kelantan (JPSU) kepada Pusat Pengajian Asasi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK-AsCent) adalah satu tindakan strategik Universiti bagi memastikan agenda keusahawanan negara dapat dilaksanakan dengan cemerlang oleh UMK. Dengan adanya UMK-AsCent, isu kuantiti dan kualiti pelajar prasiswazah akan dapat ditangani melalui penawaran program asasi untuk lepasan SPM di UMK. Kejayaan JPSU menjenamakan program Asasi Sains UMK sebagai program paling popular antara semua program asasi yang ditawarkan oleh universiti awam di Malaysia telah mewajarkan ianya dinaik taraf sebagai pusat tanggungjawab baharu di UMK bermula 11 April 2023.

UMK-AsCent diharapkan akan menyediakan bilangan pelajar mencukupi yang diperlukan untuk semua program prasiswazah di UMK melalui konsep “feeder”. Penubuhan UMK-AsCent juga bertujuan untuk memastikan pelajar yang diterima masuk ke program prasiswazah di UMK adalah dalam kalangan yang bermutu tinggi dari segi pencapaian akademik yang telah diberi nilai tambah dengan ilmu keusahawanan semasa program persediaan. Ini seterusnya akan membantu mereka untuk lebih bersedia dari segi emosi dan keupayaan berfikir bagi meneruskan pengajian peringkat prasiswazah di UMK.  

Kejayaan naik taraf JPSU kepada UMK-AsCent menunjukkan satu usaha pro-aktif UMK dalam memastikan kecemerlangan pendidikan keusahawanan di Malaysia. Ini kerana, kuantiti dan kualiti pelajar yang diterima masuk ke program prasiswazah sehingga kini menghadkan UMK merialisasikan agenda universiti keusahawanan dalam semua bidang pengajiaan yang ditawarkan. Ini seterusnya akan menghadkan kemampuan universiti untuk menjayakan agenda keusahawanan dengan berkesan dan cemerlang. Adalah tidak wajar jika agenda keusahawanan negara tidak dapat dijalankan dengan berkesan disebabkan oleh isu kualiti dan kuantiti pelajar prasiswazah di UMK. Jadi penawaran program persediaan di bawah UMK-AsCent untuk para lepasan SPM yang mengfokuskan pendidikan keushawanan yang berkualiti diharapkan dapat membendung isu ini. Dengan pelajar yang mencukupi dan berkualiti sudah pasti lebih mudah untuk UMK merialisasikan agenda keusahawanan dengan lebih cemerlang di peringkat nasional dan antarabangsa pada masa akan datang.

Sekian, terima kasih. 

DR. HJH. MARINAH BINTI MUHAMMAD 

Pengarah UMK-AsCent

Pusat Pengajian Asasi 

Universiti Malaysia Kelantan