Pusat Pengajian Asasi
Universiti Malaysia Kelantan

MENGENAI Pusat Pengajian Asasi


Pusat Pengajian Asasi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK-AsCent) merupakan pusat tanggungjawab baharu yang telah tertubuh pada 11 April 2023 melalui proses naik taraf Jabatan Persediaan Sains Universiti Malaysia Kelantan (JPSU). Objektif utama naik taraf JPSU kepada UMK-AsCent adalah untuk membolehkan jabatan ini memiliki struktur governans yang lebih padu dalam menyelaras dan mengurus kemasukan pelajar lepasan SPM sehingga tamat pengajian dan seterusnya dapat menangani isu kuantiti dan kualiti pelajar prasiswazah di UMK.

Sepanjang pengoperasianya sehingga kini, JPSU telah berjaya menawarkan dua program pengajiaan iaitu Program Asasi Sains sebanyak 2 kohort dan Program Pra-Ijazah Sains sebanyak 4 kohort. Dalam masa yang sama, JPSU juga telah berjaya menjenamakan Program Asasi Sains UMK sebagai program asasi pilihan pertama paling popular dari semua program asasi di Malaysia dua tahun berturut-turut dan meningkat penawaran program Pra-Ijazah Sains daripada satu ke dua ambilan setahun bermula 2022. Bagi membolehkan jabatan ini dinaik taraf kepada UMK-AsCent, satu lagi program akademik baharu akan ditawarkan bermula Julai 2023 iaitu Program Asasi Tahfiz. 

Sehingga tahun 2030, UMK-AsCent akan terus berkembang melalui pembangunan dan penawaran program pengajian Asasi yang baharu bagi memberi peluang kepada lepasan SPM dari semua aliran untuk menyambung pengajian di peringkat prasiswazah di UMK.